Tuesday 18 December 2012

Mimpi Takut Jatuh Dari Tempat Tinggi

Waktu itu aku baru saja melahirkan anak ketiga.   Suamiku dah merancang nak bawa kami berjalan cari fossil di satu lembah sungai.  Aku nak ikut, tak sedar diri masih dalam pantang.

Tetapi malam sebelum kami bertolak pergi, aku telah bermimpi.   Aku bermimpi aku menaiki tangga yang sangat tinggi.  Ketika tiba di atas, aku pandang ke bawah, dan serta merta aku terasa seperti hendak terjatuh ditiup angin.  Aku terus terjaga dari mimpi,  jantungku berdegup  kencang.  Aku terasa tak sedap hati, seolah-olah akan berlaku sesuatu yang buruk hari itu.

Pagi itu, aku ceritakan  mimpi pada suami, dan aku minta izin untuk tidak pergi bersama.  Sebenarnya itulah mimpi pertama yang pernah aku ceritakan padanya, kerana suamiku bukan orang yang suka mendengar cerita2 alam ghaib seperti itu.  Malah aku tak pernah cerita satu pun mimpi2 aku tentang dirinya sebelum ini.   Ironinya, dia melamar aku kerana katanya aku telah muncul beberapa kali dalam mimpinya.

Tetapi suamiku tak mempercayaiku, katanya aku terpengaruh dengan gambaran lembah sungai yang mungkin dalam, dan terbawa2 ke dalam mimpi.  Keputusannya, aku mesti pergi juga, sebab suamiku memang tak pernah meninggalkan aku dan anak2 ketika keluar berjalan2 di hujung minggu. 

Ketika tiba di tebing sungai, aku dapat melihat lembah jauh di bawah, seperti Grand Canyon, cuma dalam skala yang lebih kecil.

Ada tangga  untuk turun ke lembah, dan aku berhati2 turun.  Setiap langkah, aku ambil masa untuk berhenti rehat dan aku pastikan kakiku pijak anak tangga dengan betul.  Anakku yang berusia 10 hari berada dalam carrier yang diikat di badanku.  Kedalaman lembah itu dari tebingnya, hampir 3 tingkat bangunan.

Alhamdulillah aku berjaya sampai ke lembah, mungkin mimpi itu cuma mainan tidur aje.  Kami seronok mencari fossil hidupan laut yang melekat di batu2 di lembah tersebut.   Tempat kami itu terletak di tengah2 benua, beribu2 km jauhnya dari laut.  Mungkin suatu masa dulu,  bentuk mukabumi  dan paras air laut sangat berbeza dari sekarang.

Setelah puas hati dengan jumlah fossil yang dikumpul, suami mengajak pulang.  Dia terpandang satu laluan naik ke tebing yang tidak menggunakan tangga.  Puncak tebing juga nampak agak rendah di situ.  Ada banyak pokok dengan akar berselirat di sepanjang laluan tersebut.  Akar2 yang melekat pada tebing seolah2 jadi tangga semulajadi.

Aku pun mengikutnya memanjat tebing dengan berpaut pada akar2 pokok.   Suamiku di hadapan, diikuti 2 orang anak kami, dan aku paling belakang.

Tetapi sebaik suamiku tiba di tempat yang disangkanya 'puncak tebing', dia menjerit menyuruhku berpatah turun.

Katanya, tempat itu masih separuh perjalanan.  Masih ada lagi separuh perjalanan di atas yang lebih curam, tiada lagi pokok atau akar untuk berpaut.  Yang ada cuma batu2 besar dan rumput2 kasar yang tumbuh di sepanjang cerun.  Dia dan anak2 boleh merangkak sambil berpaut pada rumput, tapi tak mungkin aku boleh, kerana sebelah tanganku diperlukan untuk memangku leher bayi.

Aku terhenti, dan buat pertama kali menoleh ke bawah untuk melihat dimana aku perlu turun.  Ketika itu juga darahku terasa terhenti mengalir seolah2 akan pitam, rupa-rupanya tebing yang kupanjat tadi sangat curam bila dilihat dari atas, dan lembah itu sudah sayup jauh di bawah,  Aku terus rasa gayat, terasa seinci sahaja aku bergerak, aku  boleh jatuh bila2 masa dari tebing.  Sebelah tanganku memegang akar, sebelah lagi kepala bayiku.  Bagaimana aku nak turun dalam keadaan begini? 

Aku  tak berganjak walau seinci, kerana seluruh sendi dan otot menjadi lemah.  Suamiku telah berjaya sampai ke atas agaknya, sebab aku dah tak mendengar suaranya lagi.  Syukurlah di bawah masih ada satu keluarga yang sedang  mencari fossil.  Aku merayu minta tolong diturunkan ke bawah.   Seorang lelaki memanjat tebing dan menghulurkan tangannya.  Dia memujuk aku supaya bertenang dan memandu aku turun dengan selamat.

Aku ceritakan semua pada suami, dia minta maaf kerana mengajakku memanjat tebing tinggi itu, tetapi masih tak percaya ada kaitan antara mimpi dan kejadian hari itu.


update 5/4/2018:  Aku  sedar ramai yang masuk ke sini untuk mencari tafsir mimpi  takut jatuh dari tempat tinggi, malangnya mimpiku di atas bukan berbentuk tafsiran, lebih kepada apa yang bakal aku hadapi esoknya, yang mirip kepada mimpi tersebut.



Tetapi aku pernah bermimpi   hampir terjatuh dari bangunan tinggi,  hanya tinggal jari2  yang berpaut pada bangunan tersebut, sedangkan kaki sudah tergantung di udara.  Tetapi sebaik sahaja jejariku terlepas dari pautan, aku terus terjaga kerana mendengar suara suami mengejutkan solat subuh.

Ada mimpi lain yang bukan jatuh, tetapi sama tafsirannya.   Aku ternampak arwah atuk dari jauh.  Aku cepat2 ingin pergi ke arahnya,   tetapi muncul suamiku dalam mimpi menghalang, itu bukan atuk!   Itu syaitan.  Lalu dia memaut tanganku dan kami lari bersama2 sehingga tercungap2.  Aku terus terjaga dari tidur,   dalam keadaan penat, selepas terdengar suara suami mengejutkan untuk solat subuh juga.

Aku menafsirkan dalam kedua2 mimpi itu, ia dari syaitan atau  subconscious sendiri supaya aku terleka dan mimpi berpanjangan sehingga tidak bangun solat subuh.  Tetapi suara suami menyelamatkanku, syukur.   Dalam kedua2 keadaan, aku sebenarnya terlalu penat sebelum masuk tidur, sehingga jika tiada siapa mengejutku, pasti terlepas waktu subuh hari itu. Ada peperangan dalam tubuh aku waktu itu,  kehendak badan yang masih ingin  tidur dan berehat,  melawan iman yang menyuruhku bangun dan solat.

Mungkin tafsiran mimpi anda juga berbeza.  Sebenarnya diri kita sendiri yang boleh menilai apa makna sesuatu mimpi itu pada kita.
______________________________________

Thursday 6 December 2012

Mimpi Bertemu Arwah Nenek dan Atuk

Beberapa hari selepas bapa mertua meninggal dunia, nenek di kampung pula menyusul.    Tinggallah atuk seorang diri sekarang.  Anak2 mengajak atuk tinggal bersama, tetapi atuk lebih rela tinggal seorang diri di kampung.

2 tahun selepas arwah nenek meninggal, aku bermimpi lagi. Kali ini aku bermimpi ketika aku kecil, duduk dipangkuan atuk,  bersama  arwah nenek berperahu di sungai.   Bila terjaga, aku dapat rasakan mimpi ini sama tandanya  dengan mimpi pertama bertemu arwah opah,  dan mimpi kedua bertemu arwah ibu mertua.



Aku tak pulang ke kampung hariraya Syawal dan Korban tahun itu, aku tak mahu berjumpa atuk. Aku takut.  Arwah tokwan dan arwah bapa mertua meninggal dunia dalam masa sebulan sahaja selepas aku bertemu mereka dahulu.

Setahun kemudian, Ramadhan menjelma.  Seminggu sebelum Syawal, aku benar2 rindukan atuk.   Takkanlah kerana sekeping mimpi, aku terus jadi begini.   Bukan aku yang menentukan bila seseorang manusia akan menemui ajal, semua itu hanya Allah sahaja yang tahu.   Kalau perkara itu terjadi, anggaplah ia kebetulan sahaja.

Lagipun dari cerita saudara mara yang pulang ke kampung, atuk sihat-sihat saja dan masih bermotor ke sana sini.   Aku ingat lagi hari itu hari Sabtu, aku menefon suamiku di ofisnya.  Abang, kita balik kampung atuk raya ni, rindulah kat atuk.  Suamiku terus bersetuju.

Esoknya, aku mendapat panggilan telefon dari kampung.  Atuk sudah meninggal dunia.  Arwah atuk meninggal dunia seorang diri, dan doktor mengesahkan arwah meninggal pada hari Sabtu, cuma baru ditemui oleh pakcik yang menziarah pada hari Ahad.  Pakcikku menziarah atuk 2 atau 3 hari sekali, tak dapat hari2 kerana rumahnya hampir 100 km jauhnya, dan atuk pun masih sihat lagi.

Tindakan aku mengelak dari berjumpa atuk ini sebenarnya satu kesilapan.  Sepatutnya bila aku bermimpi begitu, dan aku merasakan yang umur atuk tidak panjang lagi, aku patut pergi berjumpa dengannya, dan cuba berbakti padanya sebelum dia meninggal.   Mungkin itulah sebenarnya apa yang cuba disampaikan melalui mimpi itu, tetapi aku menafikannya.

Mudah-mudahan jika selepas ini aku bermimpi lagi perkara yang hampir serupa, aku harap aku dapat berbuat amal kebajikan dan berbakti, bukannya melarikan diri.



Mimpi Diserang Burung Kecil

Semasa belajar di luar negara, aku pernah tinggal di asrama universiti, dan pakaian dibasuh di ruang dobi yang disediakan.

Malam itu aku bermimpi, aku diserang sekumpulan burung2 kecil.  Burung2 itu terbang laju dan cuba melanggarku.

Pagi Sabtu, biasanya waktu ini aku akan ke dobi untuk membasuh baju.  Tetapi aku teringat mimpi malam tadi, membuatkanku takut nak keluar rumah.  Aku dapat rasakan, mimpi itu akan berlaku juga hari itu, cuma bila dan di mana yang aku tak tau.

Tetapi bila difikirkan semula, takkan aku nak berkurung selama-lamanya, lagipun kalau perkara itu akan berlaku, pasti ia akan berlaku walaupun aku menyorok di bawah katil sekalipun.  Mungkin burung2 itu akan menyerangku di situ.

Pasti ada di antara pembaca yang tak dapat menerima semua ini.  Mana mungkin aku tahu perkara yang belum berlaku.   Ia di luar kawalanku, ia hadir dalam mimpi dan ia lain dari mimpi2 mainan tidur yang biasa kita alami.  Mimpi itu membuatkan dadaku berdebar sepanjang masa sehinggalah perkara itu betul2 terjadi.

Lalu aku pergi ke dobi yang terletak di bangunan asrama lain.  Sepanjang perjalanan, aku sangat berhati2, aku elakkan lalu di bawah pokok atau mana2 tempat yang boleh jadi tempat burung bertenggek.

Alhamdulillah, tiada apa2 yang berlaku.  Aku pun membasuh dan mengeringkan baju sambil berbual2 dengan orang lain di situ.  Kemudian mereka keluar meninggalkan aku seorang.  Meriah terdengar mereka berbual2 sambil ketawa semasa keluar dari dobi.

Selesai, aku masukkan semua baju dalam beg plastik dan berjalan keluar.  Ketika itulah, waktu betul2 didepan pintu utama, aku terlihat sarang burung di atas palang pintu.



Aku sempat berfikir, inilah masanya, dan serentak itu juga 2 ekor burung terbang rendah keluar dari sarang dan terus menyerang dan terbang laju melintasi mukaku.  Aku tunduk melindungi mata sambil berlari keluar.  Syukur mereka tidak mengejarku.  Alhamdulillah tak cedera.  Mungkin mereka cuma nak menakutkan, bukan nak cederakan.

Tergamam seketika, tapi dalam masa yang sama, lega sebab semuanya dah selesai.



Mimpi Tentang Rakan Serumah

Mimpi2 yang aku dah cerita sebelum ini adalah mimpi2 yang sangat berkesan dan masih ku ingat hingga kini.  Tetapi aku juga banyak bermimpi perkara2 lain yang berkaitan dengan hidupku sehari2.  Kebanyakannya aku sudah terlupa.  Tetapi aku akan sentiasa update blog ini untuk mencatatkan apa2 mimpi yang dapat ku ingat dari masa ke semasa.

Salah seorang housemate semasa aku belajar dulu ada masalah dengan kami semua.  Dia jarang pulang ke rumah, dan kadang2 bermalam di rumah boyfriendnya.  Bulan terakhir, dia terus keluar dan tidak mahu berkongsi membayar sewa rumah kami lagi.  Tetapi barang-barangnya masih banyak tertinggal di rumah kami.  Kami pun apa lagi, terus tukar mangga rumah.  Kami takkan benarkan dia masuk sehinggalah dia bayar sewa rumah.

Tetapi malam itu aku bermimpi, dia datang dan merayu2 untuk masuk ke rumah.  Pagi itu aku sangat resah memikirkan mimpi malam tadi.  Semua housemate yang lain sudah keluar kerana mereka ada kelas pukul 8 pagi.  Aku seorang yang tinggal kerana kelasku agak lewat dan hari itu giliranku memasak.

Seperti jangkaanku, tiba2 terdengar seseorang cuba membuka kunci rumah.  Kemudian pintu rumah diketuk bertalu-talu.  Aku tahu itu dia.  Aku mendiamkan diri, pura2 rumah tiada penghuni.  Tetapi housemate memanggil2 namaku dan rakan2 serumah lain, dia merayu2 supaya kami membuka pintu.

Aku buka pintu, tetapi masih berantai.  Aku beritahu dia syarat2 yang ditetapkan kami.  Dia berjanji dan minta dibenarkan masuk.  Tetapi adatlah setelah dia pergi bersama semua barang-barangnya, janji itu tidak ditunaikan.  Housemate lain memang marah padaku, sebab syaratnya dia mesti bayar dahulu baru dibenarkan masuk sedangkan aku tak sampai hati melihat dia ketika itu.



Mimpi Bertemu Arwah Ibu dan Bapa Mertua

Mimpi ini berlaku ketika aku menetap di luar negara.  Aku sudah ada 2 orang anak dan sedang hamil anak ke 3.   

Dalam mimpi tersebut, aku bertemu arwah ibu mertua (yang  sudah meninggal dunia sebelum aku mengenali suami) bersama-sama bapa mertuaku yang masih hidup lagi.  Aku melihat diriku di dalam mimpi itu sedang berbual2 sambil menikmati minum petang dihadapan sebuah rumah yang dindingnya dipenuhi tumbuhan menjalar.


Tak lama kemudian, semasa anak ke3 berusia hampir setahun,  aku pulang ke Malaysia bersama anak-anak, manakala suami masih di sana kerana tugasan belum selesai.

Selepas puas bercuti bersama keluargaku di kampung, keluarga mertua meminta aku tinggal bersama bapa mertua kerana beliau sedang sakit dan tiada siapa yang menjaganya.

Aku dan anak2 sempat bersama bapa mertua selama sebulan sahaja kerana aku telah diarahkan bertugas.  Ketika itu, ayah mertuaku telah sakit tenat, dan beberapa orang anaknya telah mengambil alih tugas menjaganya bergilir-gilir.

Pada hari ke 3 aku bekerja, aku telah mendapat panggilan dari kampung, bapa mertuaku telah meninggal dunia.

Ketika ini, aku terus teringatkan mimpiku.  Mimpi yang hampir sama tanda dan maksudnya dengan mimpiku bertemu opah dan tokwan.

Wednesday 5 December 2012

Mimpi Bertemu Bakal Suami


Selepas tamat belajar, aku bekerja di KL.  Ramai rakan-rakanku yang dah berumahtangga waktu ni, sebab masing2 dah bertemu jodoh sewaktu di universiti.

Adik di bawah aku pun dah ada 2 cahayamata ...  makcik2 di kampung semakin galak bertanya bila agaknya giliranku pula

Yang cuba matchkan aku dengan anak2 lelaki, anak2 sedara lelaki dan rakan2 lelaki mereka pun dah tak  terkira ramainya, malangnya si matchmaker sahaja rupanya yang sukakan aku, sedangkan si lelaki terus menolak.   

Ketika itu memang aku rasa amat malangnya diri aku, tetapi kini aku dapat rasakan rahmat pada semua penolakan tersebut.  Ya, Allah memang nak temukan aku dengan lelaki yang terbaik.

Kemudian aku melanjutkan pelajaran ke luar negara lagi selama setahun.  Waktu itu, aku kerap bermimpi tentang sorang lelaki gemuk.  Mimpinya tak pernah sama, tetapi bersiri, dari mimpi pertama sehingga mimpi terakhir.  

Dari episod lelaki gemuk itu berkata dia sukakan aku, kemudian beberapa mimpi aku tak sukakan dia,  dia kata nak kawin dengan aku,  dan akhirnya dia beritahu ibunya dah berkenan denganku. Mimpi terakhir itu seolah2 aku dah pasrah dan menerimanya.

Waaaah aku takut, aku takut mimpi tu jadi nyata, dan adakah lelaki gemuk itu sebenarnya jodoh aku?????  

Kembali ke KL, aku telah dilamar melalui telefon oleh rakan sekerja.  Pejabat kami agak jauh dan susah nak terserempak.  Aku pernah melihatnya dari jauh beberapa kali sahaja dulu, iaitu sebelum pergi sambung belajar.   Waktu itu aku rasa dia nampak kurus, tak seperti lelaki dalam mimpiku yang boroi.

----------------------------------------------

10 hari selepas menerima panggilan telefon itu, dan  tanpa berjumpa terlebih dahulu,  aku menerima  lamarannya.   Pertama, kerana selama sebulan sepanjang bulan Ramadhan sebelum itu, aku telah berserah diri dan menyerahkan sepenuhnya  siapa jodohku kepada Allah.  Setiap malam aku mengadu serta berdoa dengan bersungguh2 untuk ditemukan dengan jodohku.   

Maka aku yakin inilah jawapan kepada doa-doaku waktu itu.  Malah ibuku pun turut sama berdoa untukku.   Kedua, latarbelakang lelaki itu, bapanya seorang ustaz, anak2 ada asas agama,  dan keluarga yang sangat mementingkan solat berjemaah.

Sewaktu nak berbincang tentang urusan pertunangan, barulah aku setuju nak jumpa.  Kali pertama aku lihat dia dari jauh, terus rasa nak pengsan.    Ya Allah kenapa gemuk sangat, sama macam lelaki gemuk dalam mimpi2 aku sebelum ni. 

Adakah aku tersalah orang dan terus terima lamaran tanpa siasat terlebih dulu?  Aku nak berpatah balik masa tu, nak cancel dating.  Tapi dia dah ternampak aku,  tak sopan pula kalau aku berpatah pergi.

Semakin hampir, aku langsung tak pandang ke arahnya.  Aku tunduk aje atau pandang ke arah lain.  Aku tak sanggup!!!   Aku tak mau kawin dengan lelaki gemuk!!!!

Perjumpaan kami sekejap aje, 5 minit.  Aku beri alasan untuk ke tempat lain pula.

Aku dah rasa tak suka.  Macam mana aku nak bagitau dia???  Lepas tu aku bagi macam2 alasan untuk tak jumpa dia lagi.    Mungkin ini sudah takdir aku.  Kerana terlalu terkejut, aku terlupa betapa panjang dan susahnya proses aku nak bertemu jodoh ini, dengan doa yang tak putus2 siang dan malam.    Dan betapa dalam proses itu aku sentiasa mengharap petunjuk Allah, tapi bila dah dapat aku seakan tak redha pula.

Aku  teruskan, dan ikut je perancangan kedua2 belah keluarga.  Kami bertunang.   Semenjak itu, aku belajar untuk redha dengan pilihanku sendiri.  Aku mula sayangkan tunangku.

Acara bertunang waktu itu bukan seperti sekarang.  Ketika itu, perempuan hanya duduk dibilik menunggu cincin tunang disarungkan.  Lelaki  tidak ikut keluarganya ke majlis bertunang.  Sekarang, bukan sahaja si lelaki ikut bersama, terus bergambar pula dengan tunang di atas pelamin!!!!  Dah macam majlis nikah pula, padahal .... tiada ikatan halal pun lagi.

Walaupun kami rakan sekerja,  aku tak pernah terserempak dengannya lagi.  Tunangku kata dia selalu curi2 pandang semasa aku ke cafe,  aku sahaja yang tak tau.  Tapi dia tak berani nak tegur kerana dia merahsiakan pertunangan kami dari rakan-rakan sekerja  Malah dia juga tak pernah minta gambarku, takut aku tak bagi.   Aku nampak garang sangat ke?

Beberapa bulan kemudian tunangku ingin berkunjung ke kampungku.   Mak ayah aku bukan main gembira nak jumpa bakal menantu, maklumlah anak yang mereka risaukan akhirnya bertemu jodoh juga.

Pukul 10 pagi dia dah sampai.  Aku masih berbaju basahan, jadi mak ayah aku yang sambut dan layan dia berbual.  Ketika keluar ke ruang tamu,  aku terpaku .... tunang aku ke ni?  Lelaki gemuk  boroi yang aku jumpa beberapa bulan lepas?  Tapi sekarang dia dah nampak lain. Ye dia sudah tak nampak kurus seperti mula2 kerja dulu,  tapi tak pula gemuk atau boroi.  Aku keliru.

Rupa-rupanya badan dia yang dulu kelihatan gemuk itu cuma ilusi mata aku je, kerana waktu itu baju kerjanya dah serabai hampir terkeluar dari pinggang, angin dari belakang menolak baju itu sehingga nampak kembung dan boroi.  Ditambah pula dengan bahunya yang sangat bidang seperti pemain rugby.  Memang dia nampak besar dan gemuk ketika itu.  Aku pula cuma melihat sekilas lalu dan terus imej itu tertanam dalam minda.  Elok juga, kurang sikit dosa sebab kurang berjumpa dan kurang angan2. 

Ibunya sudah meninggal dunia, tetapi tunangku memberitahu aku mempunyai ciri2 wanita yang disukai oleh arwah ibunya.     Seakan sama macam dalam mimpikan?

Akhirnya, dia selamat jadi suami aku.  Walaupun aku tak pernah bercinta atau kenal rapat dengannya, rupa-rupanya dia mempunyai semua ciri2 lelaki yang aku impikan.  Dia tak romantik, tiada bunga atau kejutan hadiah, tapi suka mengusik, berkarisma, bijak, pemimpin dan imamku.

Suamiku sedar aku menerimanya tanpa cinta, dan dia berusaha untuk membuatkan aku jatuh cinta padanya selepas kami bernikah.  Terimakasih suamiku. 



Nov 2013:  2 hari lepas ulang tahun perkahwinan kami yang ke 18.  Sebelum melamarku dulu, suamiku memberitahu dia  selalu bermimpikan aku.   Malam tadi barulah aku berani bertanya tentang mimpinya.  Rupanya dalam  setiap mimpi, dia melamar aku, dan aku terus menerimanya.  Ya Allah, aku teringat  bagaimana aku terus terima lamarannya tanpa berjumpa atau berkawan terlebih dahulu.  Syukurlah bertahan hingga kini. 


Jun 2018:  selepas 23 tahun menjadi isterinya, baru malam tadi aku bercerita sebab utama aku menerimanya walau tanpa berjumpa atau berkenal-kenalan terlebih dulu.  Dia melamarku 2 hari sebelum Ramadhan berakhir, dan aku menerimanya kerana aku yakin dialah jawapan kepada doa-doaku.

Mimpi Bertemu Arwah Opah dan Tokwan di Mekah

Semester akhir sebelum tamat belajar, aku telah bermimpi sesuatu yang tak dapat aku lupakan.  Aku bermimpi mengikut arwah opah dan tok wan di dalam sebuah keretapi ringan yang sedang bergerak keluar atau masuk ke Mekah.  Aku dapat melihat suasana yang lapang dan tandus melalui tingkap keretapi.

Kami bertiga berpakaian ihram lengkap, seperti sedang mengerjakan haji.  Begitu juga pakaian orang2 di sekeliling kami.

Di alam nyata, belum wujud apa2 jenis keretapi pun di Mekah ketika itu.  MRT yang pertama pun baru beroperasi sepenuhnya tahun 2010, yang menghubungkan Mekah dan Mina sahaja, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro line.  Aku juga tak pernah ke Mekah apalagi mengerjakan haji.

Opah dah meninggal dunia lama sewaktu aku masih  kanak2 lagi.  Tok wan pula aku tak pasti sebab aku dah lama tak pergi ke rumahnya.   Kalau tok wan pun dah meninggal, adakah aku juga akan ....?

Mereka berdua ni pasangan suami isteri pangkat atuk sedara aku.  Jadi esok tu aku terus telefon mak di Malaysia, tanya kabar tok wan.  Rupa-rupanya tok wan masih hidup lagi tapi sedang terlantar sakit.

Selepas menamatkan pengajian, aku balik ke kampung dan pergi melawat rumah tok wan.  Itulah kali terakhir aku bertemu dengannya sebab tak sampai sebulan kemudian, aku mendapat khabar, tok wan sudah meninggal dunia.


Update:  Sept 2013

Insyaallah aku dan suami akan mengerjakan haji tahun ini, Kami akan ke sana pada 22 Sept, dan wukuf pada 14 Oktober nanti.  Aku berharap sangat dapat menaiki MRT seperti dalam mimpi ku dulu, tetapi rupanya perkhidmatan keretapi itu masih dihadkan untuk penduduk lokal  dan untuk bakal haji dari penempatan India, Pakistan dan Bangladesh di Mina sahaja.

Gambar di bawah ini pada musim haji tahun 2011 yang lalu.  Lebihkurang begitulah suasana dalam mimpiku ketika itu, di mana aku, opah dan tokwan semuanya berdiri seperti mereka.

Tuesday 4 December 2012

Mimpi Diminati Rakan Lelaki

Sewaktu aku hampir tamat pengajian di kolej dan bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara,  seorang rakan sekelas, C mula meminatiku.

Dari senyuman, pandangan mata, dan cara dia bercakap, aku tau dia sukakan aku.  Cuma dia belum berterus-terang  aje.  Tapi aku langsung tak berminat dengan dia. 

Rasanya aku tak memandang rupa, sebab ramai je rakan perempuan yang meminatinya, dia nampak mirip dengan Stephen Rahman Hughes seperti gambar dibawah ini. 


Aku minat lelaki yang bijak bercakap, aktif di luar kelas, berkarisma dan boleh jadi pemimpin, malangnya C cuma lelaki biasa-biasa, hidupnya hanya kelas dan buku sahaja.  Sedangkan aku sendiri aktif dalam aktiviti luar dan sukan.

Sebab kedua kerana dia nampak terlalu romantik dan sentiasa senyum ketika melihatku.  Mungkin aku terlalu muda ketika itu dan bercita2 tinggi, aku tak boleh terima semua itu.  Aku sukakan lelaki yang berwajah serius seperti nekad untuk mencapai sesuatu, seperti allahyarham Nordin Ahmad.

Semua ciri2 lelaki yang aku suka ada pada B seperti  dalam 'Mimpi dapat nota dari Jejaka Yang Diminati'.  Rupa B biasa2 sahaja, seperti pemuda2 yang bekerja kampung, dan tingginya pun lebih sikit sahaja dari aku yang cuma 150 cm.   C pula lebih tinggi dari purata lelaki Melayu.  Jika dilihat semata2 dari rupa, C jauh meninggalkan B.

Aku selalu bermimpikan C.  Dalam semua mimpi2 tu, C cuba  mendekati aku, tetapi aku  boleh mengawal tindakan aku dengan menjauhi C.  Keadaan yang sama di luar, kalau nampak C dari jauh, cepat2 aku tukar arah supaya tak bertembung dengannya.  Malangnya kerana kami sekelas, memang hampir tiap hari akan berjumpa, dan C pasti cuba berbual2 dengan aku.  Arggghh  .. 

Yang paling malang dan tak disangka2, aku  dan C rupanya memohon dan dapat offer dari universiti yang sama di luar negara. Aku pergi dahulu.  Seminggu kemudian, aku bermimpi C datang dan menemui aku.  Aku terketar2 di rumah keesokannya, sebab yakin perkara tu akan berlaku.

Seperti yang dijangka, C tiba dari Malaysia.  Semasa dapat tau yang dia dan beberapa pelajar lain dah berkumpul di ruang tamu rumah persinggahan (aku tinggal di situ sementara dapat rumah sebenar), aku menyorok di ruang dapur.  Ketika itu sudah gelap, jadi aku tak dapat keluar dari rumah.  

Tiba2 dia dah muncul di pintu dapur, dan aku tak dapat mengelak lagi terpaksa berbual2 dengan dia. Ohh alangkah suram dan gelapnya hidup aku lepas ni kalau keadaan ni berterusan.

Aku tak boleh nak bagitau C, aku tak sukakan dia, sebab dia tak pernah cakap apa2 tentang itu.  Kalau macam tu kan senang, terus full stop.   Sehinggalah ....

Aku mimpi C beritahu dia sukakan aku.   Aku tunggu2 juga, tapi C masih  tak cakap apa2. 

Sehingga satu hari, aku terima sepucuk surat tapi dari senior, abang D.  Oh surat lamaran rupanya, abang D sebagai wakil melamar aku untuk dijodohkan dengan C.  Terjawaplah sudah semua persoalan dan semua mimpi2 aku selama ini.   Dan keputusan aku sudah muktamad, aku telefon C dan  tolak lamarannya.

C  lelaki yang baik, cuma aku yang tak dapat menerimanya.  Aku sangat takut aku ditimpa fitnah atau musibah kerana ini.  Tapi aku tak boleh tipu perasaan sendiri.

C seolah2 tak faham dan tetap cuba mendekati aku.  Syukurlah  kami dari fakulti yang berlainan, jadi aku dapat mengelak darinya.  Tapi hampir setiap malam aku bermimpikan C.   Aku jadi takut nak tidur, takut bertemu C lagi.  Mimpi itu sama aje, C mengejar aku, dan aku berjaya lari daripadanya.

Sehinggalah satu malam, aku bermimpikan C lagi.  Dia mengejar aku, aku berjaya lari ke sebuah pondok kosong.   C dapat masuk dan berdiri di pintu.  Aku tak dapat lari lagi kerana tiada jalan lain untuk keluar.   

Jadi aku terus berdepan dengan dia dan bertanya, kenapa kau kejar aku?   C  pula bertanya kenapa aku tak pernah hubungi dia.  Aku balas, kau nak, kau lah tulis surat.  End of Dream.



Esoknya aku berdebar,  sesuatu akan terjadi hari itu.  Benar jangkaanku.  Aku dapat sepucuk surat dari C.  Suratnya panjang menggunakan dua kertas A4 yang penuh tulisan tangan C.   Aku tak berani baca, aku takut nak tau apa isi di dalamnya.   Aku beri rakan serumahku baca dan kemudian ringkaskan yang penting aje, apa yang C cuba sampaikan.   

Rupanya C  menyangka aku masih beri harapan untuknya.  Adakah kerana frasa 'kita kawan saja'  yang pernah keluar dari mulutku dianggap permulaan untuk langkah seterusnya?  Rakan2 lelaki pula masih mengusik C dengan aku walaupun hakikatnya tak ada apa pun.

Aku terus telefon C, minta maaf,  mohon C move on dan lupakan semuanya.  Rakanku kata aku terlalu tegas dan tak bagi peluang langsung pada C.   Aku juga telefon kawan2 lama yang kuat mengusik C, beritahu hal sebenar dan minta mereka memahami.  

Syukur, itulah mimpi terakhir tentang C.  Mungkin C sudah tenang dan sudah meneruskan hidup baru. Aku juga kirimkan sekeping kad ucapan ampun maaf di atas semua kesalahan aku padanya.

Tak lama kemudian, sewaktu masih belajar, C bernikah dengan rakan sekolej kami dulu juga.   Aku pergi majlis walimah mereka yang diadakan serentak dengan majlis walimah rakan2 yang lain.  

Sebelum walimah bermula, kami ada beberapa program melibatkan aku dan rakan2 wanita termasuk bakal isterinya. Di satu ketika, aku tersedar bakal isterinya sentiasa  memandang aku tak lepas2,  bibirnya langsung tak tersenyum. 

update 30 tahun kemudian:  C  dah ada 8 orang anak.  Dia pernah menghubungiku semasa anak2 kami kecil dulu.   Aku jawab soalan2nya sahaja.  Bila dia cuba berbual lebih melalui messenger, aku putuskan terus perbualan kami. Aku tak mahu apa2 pun yang boleh menganggu rumahtanggaku atau dia.

Anak pertamanya sorang doktor, dan dia sudah ada cucu rupanya. Aku tahu semua ini dari fb isterinya. Isterinya yang request friend fb aku dahulu, aku terima sahaja.

Selepas mimpi2 bersama C, aku jarang mimpi tentang rakan lelaki lagi.  Pernah sekali sahaja, aku bermimpi  seorang rakan lelaki tiba muncul dari kegelapan di hadapanku dan berkata, "saya nak kawin dengan awak".   Nama dia E.  Lepas tu terus gelap semula, mimpi tu habis macam tu je. Aku tak sempat jawap pun samada tolak atau terima dia. 

Rakanku si E ini  warak orangnya.  Dia yang menganjurkan pengajian agama setiap minggu di universiti kami.  Aku tak layan mimpi tu sebab aku anggap E sebagai kawan je.  Lagipun E tak pernah cakap apa2 pada aku.  

Selain E, seorang rakan serumahnya juga menyukai aku.  Tapi keduanya pun tak pernah berterus-terang padaku, takut agaknya dengan sikapku yang tegas dan garang.  Aku cuma tahu dari rakan2 lelaki lain yang dijadikan tempat mereka meluahkan rahsia hati.

Tahun akhir, aku telah dimatchkan oleh seorang senior dengan seorang graduan yang telah bekerja.  Berita tersebut tersebar di kalangan pelajar2 lelaki di tempatku dan mereka menyangka aku telah bertunang.

Walaupun taaruf aku dan lelaki tersebut tidak pergi jauh,  aku membiarkan sahaja berita tak benar itu tersebar supaya tiada mainan perasaan lagi di antara aku dan rakan-rakanku.

Aku bertemu bakal suamiku di dalam mimpi juga, sudah kucoretkan di sini.   Mimpi Bertemu Bakal Suami.


Update 2020:  Anak2 E semuanya hampir sebaya dengan anak-anakku.  Isterinya jauh lagi cantik dan muda dari aku. Aku dan E menetap di luar negara tetapi di dua benua yang berbeza.    

Sebelum covid melanda baru2 ini E membawa keluarganya berkunjung kerumahku.  E bergurau ingin menjodohkan anak bujangnya dengan anak gadisku!!

______________________________________

Mimpi Dapat Nota Dari Jejaka Yang Diminati

Mimpi ini berlaku semasa  aku masih belajar di sebuah kolej.  Ia melibatkan dua orang jejaka berkarisma yang aktif dalam persatuan pelajar bersama-samaku.  Jejaka A ialah presiden kepada persatuan pelajar tersebut, manakala jejaka B setiausaha. Jawatan aku ketika itu ialah ketua bagi  pelajar perempuan.

Aku dah biasa bertukar2 nota dengan A atas sebab persatuan.  Kalau ada meeting tergempar ke, atau info terbaru ke, tak sempat nak bagitau by mouth, kitaorang tulis je nota atas kertas kuliah dan sampaikan melalui classmate masing2.  Masa tu hp tak wujud lagi, dan aku tak pernah sekelas dengan dia. Jadi aku dah biasa tengok dan baca tulisan tangan A.

B: Ngasrizal Ngasri 


Satu malam aku bermimpi, aku terima sekeping nota ... macam yang aku selalu dapat dari A.   Tulisan dalam nota tu pun betul2 tulisan A.  Isi nota, rasanya pasal persatuan kami,  .....  Yang peliknya, tandatangan kat bawah sekali, dari Setiausaha.  Mimpi ini adalah mimpi kedua yang aku dapat rasakan bakal benar2 akan terjadi.  Mimpi pertama yang benar berlaku adalah Mimpi Rahsia Rakan Sekelas.

Aku ketika itu ada perasaan yang dipendam pada B, setiausaha kami.   Tapi aku jarang2 berhubung dengan dia,  aku takde hal dengan dia, jadi tak de sebab nak berhubung selalu. Tapi kalau dapat tengok muka dia masa meeting pun aku dah gembira dan berseri2 lah muka aku sepanjang hari tu.

Seperti yang dijangka, hari tu aku dapat sepucuk surat melalui pos lagi!!!!!   Kenapa tak by hand macam yang aku selalu dapat?  Sebelum buka surat tu, aku berdoa2 semoga B yang bagi, dan adakah surat itu adalah curahan hatinya untuk aku? 🤩🤩. 

Tapi bila buka dan baca  aje,  alangkah hampanya hati.

Sudahlah tulisan memang tulisan tangan A, surat tu pula mengajak aku belajar Quran.  Patutnya aku bersyukur sebab ada orang ajak pada kebaikan, tp sebab hati dah berbunga2 nak bercinta, terus jadi frust yang amat.

Seperti dalam mimpi, surat  yang ku sangka dari A, rupanya  ditulis dan dihantar B.  Surat ajak belajar Quran pun jadilah, tapi tetap hari2 aku buka dan baca.  Angau teruk dah aku masa tu.  Rupa-rupanya tulisan tangan mereka berdua tu memang agak serupa sehingga aku tak dapat bezakannya.

Aku ikut nasihat dalam surat tu, dan ikut pergi belajar Quran secara harfiah di dalam kelas yang B anjurkan. 
____________________________________________

Terlalu ramai rakan2 ku yang meminati B, dia ada banyak pilihan. Akhirnya aku menerima hakikat dia bukan jodoh aku.  Selepas tamat kuliah,  dia berkahwin dengan orang kampungnya sendiri, seorang ustazah. 

Aku bertemu bakal suamiku di dalam mimpi juga, sudah kucoretkan di sini.   Mimpi Bertemu Bakal Suami.

Mimpi Rahsia Rakan Sekelas

Ini adalah mimpi pertama yang aku dapat rasakan satu mimpi yang benar, yang akan berlaku selepas itu.  Ketika itu, aku masih melanjutkan pelajaran di sebuah kolej di ibukota.

In My Dream
Rakan sekelas menunjukkan sekeping surat pada aku.  Surat itu diterima dari seorang lelaki yang kami kenal.  Lelaki tu nak berkenalan dengannya.

Kemudian dia menunjukkan surat kedua padaku.  Dalam surat itu, lelaki itu rupanya dah bertunang dan tunangnya cemburu pada rakan sekelasku.

Ada surat ketiga, tapi rakan sekelas tak benarkan aku membacanya.
End of dream.

Rakan sekelas aku ini memang cantik orangnya, kecik comel, dan bijak pula tu.  Ramai lelaki nak berkenalan dengannya tapi dia tak layan sangat.

Lelaki dalam mimpi itu memang aku kenal sangat2, tapi tak sangka masih nak kenal perempuan lain sedangkan dah bertunang.

Tunangnya juga aku kenal, sekolej dengan kami.   Agak garang dan kasar, jauh beza personaliti   dengan rakan sekelasku yang lembut tu.

Esoknya, tak sabar2 aku ceritakan isi mimpi aku pada rakan sekelas.

Dia terkejut, mestilah.  Kalau aku pun mesti seram sejuk ada orang boleh mimpi pasal rahsia kita.

Kemudian, dengan sukarela dia ceritakan tentang lelaki yang dimaksudkan.  Memang sama seperti dalam mimpi, nak berkenalan, dan tunang cemburu semua.

Aku pun apa lagi, cepat2 alih tajuk ke benda yang aku betul2 nak tau ... isi kandungan surat ketiga.

Malangnya rakan sekelas tak nak cerita!!!!  Frust,  kenapa?  Tapi dia tetap tak nak cakap apa2.

Lelaki tu tulis pasal aku kan?  Aku syak je. Apatah lagi lelaki yang dimaksudkan tu pernah bersemuka denganku, menegur aku yang dilihatnya rapat dengan B. 

Aku dan B mula agak rapat semasa semester akhir di kolej kerana aku menjadi editor makalah mingguan,  dan B ketika itu sudah menggantikan A sebagai presiden persatuan pelajar.  B ada ruang sendiri dalam makalah tersebut.  Tetapi kami hanya berbincang tentang kerja sahaja, tidak lebih dari itu.