Tuesday 18 December 2012

Mimpi Takut Jatuh Dari Tempat Tinggi

Waktu itu aku baru saja melahirkan anak ketiga.   Suamiku dah merancang nak bawa kami berjalan cari fossil di satu lembah sungai.  Aku nak ikut, tak sedar diri masih dalam pantang.

Tetapi malam sebelum kami bertolak pergi, aku telah bermimpi.   Aku bermimpi aku menaiki tangga yang sangat tinggi.  Ketika tiba di atas, aku pandang ke bawah, dan serta merta aku terasa seperti hendak terjatuh ditiup angin.  Aku terus terjaga dari mimpi,  jantungku berdegup  kencang.  Aku terasa tak sedap hati, seolah-olah akan berlaku sesuatu yang buruk hari itu.

Pagi itu, aku ceritakan  mimpi pada suami, dan aku minta izin untuk tidak pergi bersama.  Sebenarnya itulah mimpi pertama yang pernah aku ceritakan padanya, kerana suamiku bukan orang yang suka mendengar cerita2 alam ghaib seperti itu.  Malah aku tak pernah cerita satu pun mimpi2 aku tentang dirinya sebelum ini.   Ironinya, dia melamar aku kerana katanya aku telah muncul beberapa kali dalam mimpinya.

Tetapi suamiku tak mempercayaiku, katanya aku terpengaruh dengan gambaran lembah sungai yang mungkin dalam, dan terbawa2 ke dalam mimpi.  Keputusannya, aku mesti pergi juga, sebab suamiku memang tak pernah meninggalkan aku dan anak2 ketika keluar berjalan2 di hujung minggu. 

Ketika tiba di tebing sungai, aku dapat melihat lembah jauh di bawah, seperti Grand Canyon, cuma dalam skala yang lebih kecil.

Ada tangga  untuk turun ke lembah, dan aku berhati2 turun.  Setiap langkah, aku ambil masa untuk berhenti rehat dan aku pastikan kakiku pijak anak tangga dengan betul.  Anakku yang berusia 10 hari berada dalam carrier yang diikat di badanku.  Kedalaman lembah itu dari tebingnya, hampir 3 tingkat bangunan.

Alhamdulillah aku berjaya sampai ke lembah, mungkin mimpi itu cuma mainan tidur aje.  Kami seronok mencari fossil hidupan laut yang melekat di batu2 di lembah tersebut.   Tempat kami itu terletak di tengah2 benua, beribu2 km jauhnya dari laut.  Mungkin suatu masa dulu,  bentuk mukabumi  dan paras air laut sangat berbeza dari sekarang.

Setelah puas hati dengan jumlah fossil yang dikumpul, suami mengajak pulang.  Dia terpandang satu laluan naik ke tebing yang tidak menggunakan tangga.  Puncak tebing juga nampak agak rendah di situ.  Ada banyak pokok dengan akar berselirat di sepanjang laluan tersebut.  Akar2 yang melekat pada tebing seolah2 jadi tangga semulajadi.

Aku pun mengikutnya memanjat tebing dengan berpaut pada akar2 pokok.   Suamiku di hadapan, diikuti 2 orang anak kami, dan aku paling belakang.

Tetapi sebaik suamiku tiba di tempat yang disangkanya 'puncak tebing', dia menjerit menyuruhku berpatah turun.

Katanya, tempat itu masih separuh perjalanan.  Masih ada lagi separuh perjalanan di atas yang lebih curam, tiada lagi pokok atau akar untuk berpaut.  Yang ada cuma batu2 besar dan rumput2 kasar yang tumbuh di sepanjang cerun.  Dia dan anak2 boleh merangkak sambil berpaut pada rumput, tapi tak mungkin aku boleh, kerana sebelah tanganku diperlukan untuk memangku leher bayi.

Aku terhenti, dan buat pertama kali menoleh ke bawah untuk melihat dimana aku perlu turun.  Ketika itu juga darahku terasa terhenti mengalir seolah2 akan pitam, rupa-rupanya tebing yang kupanjat tadi sangat curam bila dilihat dari atas, dan lembah itu sudah sayup jauh di bawah,  Aku terus rasa gayat, terasa seinci sahaja aku bergerak, aku  boleh jatuh bila2 masa dari tebing.  Sebelah tanganku memegang akar, sebelah lagi kepala bayiku.  Bagaimana aku nak turun dalam keadaan begini? 

Aku  tak berganjak walau seinci, kerana seluruh sendi dan otot menjadi lemah.  Suamiku telah berjaya sampai ke atas agaknya, sebab aku dah tak mendengar suaranya lagi.  Syukurlah di bawah masih ada satu keluarga yang sedang  mencari fossil.  Aku merayu minta tolong diturunkan ke bawah.   Seorang lelaki memanjat tebing dan menghulurkan tangannya.  Dia memujuk aku supaya bertenang dan memandu aku turun dengan selamat.

Aku ceritakan semua pada suami, dia minta maaf kerana mengajakku memanjat tebing tinggi itu, tetapi masih tak percaya ada kaitan antara mimpi dan kejadian hari itu.


update 5/4/2018:  Aku  sedar ramai yang masuk ke sini untuk mencari tafsir mimpi  takut jatuh dari tempat tinggi, malangnya mimpiku di atas bukan berbentuk tafsiran, lebih kepada apa yang bakal aku hadapi esoknya, yang mirip kepada mimpi tersebut.



Tetapi aku pernah bermimpi   hampir terjatuh dari bangunan tinggi,  hanya tinggal jari2  yang berpaut pada bangunan tersebut, sedangkan kaki sudah tergantung di udara.  Tetapi sebaik sahaja jejariku terlepas dari pautan, aku terus terjaga kerana mendengar suara suami mengejutkan solat subuh.

Ada mimpi lain yang bukan jatuh, tetapi sama tafsirannya.   Aku ternampak arwah atuk dari jauh.  Aku cepat2 ingin pergi ke arahnya,   tetapi muncul suamiku dalam mimpi menghalang, itu bukan atuk!   Itu syaitan.  Lalu dia memaut tanganku dan kami lari bersama2 sehingga tercungap2.  Aku terus terjaga dari tidur,   dalam keadaan penat, selepas terdengar suara suami mengejutkan untuk solat subuh juga.

Aku menafsirkan dalam kedua2 mimpi itu, ia dari syaitan atau  subconscious sendiri supaya aku terleka dan mimpi berpanjangan sehingga tidak bangun solat subuh.  Tetapi suara suami menyelamatkanku, syukur.   Dalam kedua2 keadaan, aku sebenarnya terlalu penat sebelum masuk tidur, sehingga jika tiada siapa mengejutku, pasti terlepas waktu subuh hari itu. Ada peperangan dalam tubuh aku waktu itu,  kehendak badan yang masih ingin  tidur dan berehat,  melawan iman yang menyuruhku bangun dan solat.

Mungkin tafsiran mimpi anda juga berbeza.  Sebenarnya diri kita sendiri yang boleh menilai apa makna sesuatu mimpi itu pada kita.
______________________________________

3 comments:

  1. saya bermimpi naik ke tingkat atas bangunan lebih dari 4tingkat, dan saya pelik . saya bergayut . mimpi apakah ini

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya sendiri tak dapat jawap. Seperti Saya tulis di atas, tafsirannya dari pengalaman dan keadaan diri sendiri.

      Delete