Thursday 17 January 2013

Mimpi Mendapat Bantuan Melunaskan Hutang

Waktu mula2 bekerja, potongan zakat bukan auto seperti sekarang.  Kita terpaksa pergi ke pejabat zakat dan membayar zakat di situ setahun sekali.  Kerana bertangguh2, sudah 2 tahun aku tidak membayar zakat pendapatan. Kemudian selama beberapa tahun seterusnya aku menjadi surirmah dan tidak perlu membayar zakat lagi.

Sebaik bekerja semula, aku terus mendaftar untuk membuat potongan secara automatik untuk tahun2 seterusnya.

Tetapi jumlah zakat 2 tahun yang belum berbayar itu sentiasa menghantui diriku.  Bila mendapat rezeki lebih, aku terus berazam sebahagiannya adalah untuk membayar zakat yang tertangguh itu.   

Tetapi aku berbelah bahagi pula, nak bayar ke pejabat zakat, atau nak beri terus kepada yang memerlukan.   Beberapa hari juga aku memikirkan, memohon petunjuk, sehinggalah satu hari seorang kenalan menghubungiku.

Kenalanku ini semasa mudanya, sangat jelita dan jadi rebutan.  Kami sepejabat ketika itu, dia berkelulusan SPM dan bekerja sebagai kerani.  Tiba2 kami terdengar dia berkahwin dengan seorang buruh kasar dengan pendapatan RM 500 sahaja, walhal ex-boyfriendnya ramai yg bergaji besar.  Cara hidupnya ketika itupun agak mewah, kerana ada saja lelaki yang terpikat dan sanggup menabur wang untuknya.

Sebaik kahwin, dia berpindah ke tempat lain, dapat 5 orang anak, dan rupanya hidup mereka semakin susah.  Tetapi anak-anaknya comel2 belaka, mewarisi kejelitaan ibu dan kehenseman ayah mereka.

Temanku meminta untuk berjumpa kerana katanya ada hal penting.  Sebaik bertemu, dia berterus-terang.  Suaminya meminjam dengan along tetapi tidak berupaya untuk membayar semula.  Mereka diberikan masa sehingga esok hari sahaja. Malam itulah kenalan bermimpikan aku.  Dan dia terus yakin aku dapat menolongnya.



Aku tidak bertanya apa yang dimimpikannya, tetapi terus bertanya berapa jumlah wang along yang perlu dibayar.  Aku yakin mimpinya adalah bantuan dari Allah, yang menghubungkan aku dan temanku.  Apabila temanku memberitahu jumlahnya, memang tepat dengan jumlah wang yang hendak aku zakatkan.  Aku tak berlengah lagi, terus keluarkan cash yang memang sudah tersedia, untuk diberikan padanya.  Aku yakin inilah jawapan kemana duit zakat itu mesti disalurkan.

Sekiranya kenalanku tidak jujur atau menggunakan duit itu ke tempat lain seperti membeli barang keperluan, aku tetap menghalalkan, kerana aku yakin keluarga mereka yang miskin itu sudah termasuk dalam asnab orang2 yang layak diberikan zakat.

Disamping itu, aku yang kebetulan pergi ke jabatan agama, ternampak borang pinjaman wang untuk orang2 yang berhutang. Aku terus memberikannya kepada kenalanku ini.   Semoga mereka dapat banyak manafaat daripadanya.



tambahan;  semasa Ramadhan beberapa tahun yang lalu, seorang ustaz dari sebuah pondok  tahfiz di Pattani datang berceramah di masjid kami.  Dia menceritakan bagaimana kesusahan hidupnya semasa mula2 mendirikan tahfiz tersebut.  Pernah suatu ketika dia langsung tiada wang untuk menyelenggara, kerana majoriti yang masuk pun anak2  dari keluarga miskin. 

Tetapi suatu hari seorang rakan dari tanah Arab yang pernah menjadi rakan kuliahnya dulu menghubungi.   Rupa-rupanya rakannya bermimpi, ustaz itu dalam kesusahan dan perlukan pertolongan.  Rakannya berusaha mencari dan menghubunginya, dan bersedia menawarkan bantuan kewangan.

Kerana itu aku yakin, Allah mendatangkan pertolongan pada hambaNya dalam pelbagai cara, dan salah satunya melalui mimpi.  Hati yang betul2 ikhlas meminta pertolongan dari Allah,  pasti cepat atau lambat, akan dapat jawapannya.   

Allah lah yang telah menemukan aku yang sedang mencari orang yang hendak dibantu. Aku belum pernah memberitahu sesiapa atau mengiklankan, dia juga hanya yakin melalui mimpi sahaja.