Thursday 6 December 2012

Mimpi Bertemu Arwah Nenek dan Atuk

Beberapa hari selepas bapa mertua meninggal dunia, nenek di kampung pula menyusul.    Tinggallah atuk seorang diri sekarang.  Anak2 mengajak atuk tinggal bersama, tetapi atuk lebih rela tinggal seorang diri di kampung.

2 tahun selepas arwah nenek meninggal, aku bermimpi lagi. Kali ini aku bermimpi ketika aku kecil, duduk dipangkuan atuk,  bersama  arwah nenek berperahu di sungai.   Bila terjaga, aku dapat rasakan mimpi ini sama tandanya  dengan mimpi pertama bertemu arwah opah,  dan mimpi kedua bertemu arwah ibu mertua.



Aku tak pulang ke kampung hariraya Syawal dan Korban tahun itu, aku tak mahu berjumpa atuk. Aku takut.  Arwah tokwan dan arwah bapa mertua meninggal dunia dalam masa sebulan sahaja selepas aku bertemu mereka dahulu.

Setahun kemudian, Ramadhan menjelma.  Seminggu sebelum Syawal, aku benar2 rindukan atuk.   Takkanlah kerana sekeping mimpi, aku terus jadi begini.   Bukan aku yang menentukan bila seseorang manusia akan menemui ajal, semua itu hanya Allah sahaja yang tahu.   Kalau perkara itu terjadi, anggaplah ia kebetulan sahaja.

Lagipun dari cerita saudara mara yang pulang ke kampung, atuk sihat-sihat saja dan masih bermotor ke sana sini.   Aku ingat lagi hari itu hari Sabtu, aku menefon suamiku di ofisnya.  Abang, kita balik kampung atuk raya ni, rindulah kat atuk.  Suamiku terus bersetuju.

Esoknya, aku mendapat panggilan telefon dari kampung.  Atuk sudah meninggal dunia.  Arwah atuk meninggal dunia seorang diri, dan doktor mengesahkan arwah meninggal pada hari Sabtu, cuma baru ditemui oleh pakcik yang menziarah pada hari Ahad.  Pakcikku menziarah atuk 2 atau 3 hari sekali, tak dapat hari2 kerana rumahnya hampir 100 km jauhnya, dan atuk pun masih sihat lagi.

Tindakan aku mengelak dari berjumpa atuk ini sebenarnya satu kesilapan.  Sepatutnya bila aku bermimpi begitu, dan aku merasakan yang umur atuk tidak panjang lagi, aku patut pergi berjumpa dengannya, dan cuba berbakti padanya sebelum dia meninggal.   Mungkin itulah sebenarnya apa yang cuba disampaikan melalui mimpi itu, tetapi aku menafikannya.

Mudah-mudahan jika selepas ini aku bermimpi lagi perkara yang hampir serupa, aku harap aku dapat berbuat amal kebajikan dan berbakti, bukannya melarikan diri.



No comments:

Post a Comment