Thursday 17 May 2018

Mimpi Bertemu Arwah Bapa Mertua di Mekah

Kali ini bukan aku yang bermimpi, tapi abang iparku.  Orang yang dimimpikannya pula ialah suamiku bersama arwah ayahku. Jun 2010.

Semasa berusia lewat 70an, ayahku kerap sakit dan selalu keluar masuk hospital.    Beberapa kali aku dapat panggilan dari emak di kampung kerana ayah tenat.  Kadang2 aku terus pulang, kadang2 aku terpaksa bertahan  dan hanya dapat mendoakan ayah dari jauh, kerana anak2 sedang bersekolah dan suami pula outstation.    Tetapi selepas dirawat, ayah sihat semula walaupun badannya sudah tak kuat seperti dulu.

Tetapi satu hari aku mendapat panggilan kecemasan dari emak, doktor meminta semua anak2 berkumpul kerana masa  ayah mungkin sudah tak lama lagi.  Kebetulan hari minggu, aku bawa semua anak2 ke kampung kecuali yang sulung tinggal di asrama.  Suamiku sedang outstation di pedalaman Borneo.  Untuk ke sana pun menaiki pesawat kecil yang boleh bawa beberapa penumpang sahaja dan cuma datang seminggu sekali.
  
Selama  hampir seminggu aku di kampung, bergilir2 dengan ibu dan adik beradikku menjaga ayah yang sudah tenat di hospital.  Semua ipar2ku  juga sudah berada di kampung.  Hanya suamiku seorang yang tiada.  Dia sudah cuba pulang awal tapi penerbangan terawal pun 2 hari lagi.   Adik-beradikku sudah bising kenapa suamiku tidak pulang, kenapa ipar2ku boleh pula. 

Suami akhirnya berjaya pulang, tetapi sehari selepas ayah tiada.

Setahun selepas ayah meninggalkan kami, aku, suami dan emak pergi menunaikan umrah.  Selepas pulang dari umrah, kami berkumpul di rumah kakak yang menjaga anak2 kami.  Kami memang memilih tarikh cuti sekolah selama 2 minggu.   Ketika  inilah abang iparku  bercerita tentang mimpinya.  

Iparku ini baik dan lurus orangnya.  Dia agak berusia dari kami.  Seluruh ahli keluargaku  menyukai dan menghormatinya.  Dia telah bermimpi suamiku bertemu arwah ayah di Mekah.  Arwah ayah dan suami berpakaian ihram, dan sebaik bertemu, mereka terus berpelukan sambil menangis gembira.

Aku sungguh terharu mendengar mimpi itu.  Walaupun aku tertanya2  mengapa suamiku, mengapa bukan ibu atau aku?  Mimpi itu sungguh indah, dan terbuktilah Allah sahaja yang tahu rahsia hati hambanya.   

Update 5.8 2023
Suamiku telah meninggal dunia pada tarikh ini. Semoga semua amalannya diterima dan semua dosa2nya diampunkan.  Semoga dihimpunkan di dalam syurga bersama hamba2Nya yang beriman.  

Mimpi abang iparku itu rupa-rupanya menemukan dua jasad yang dulu terpisah di dua alam berbeza, kini sama2 telah berada di alam akhirat.

Sekadar gambar hiasan

No comments:

Post a Comment